LONDON 22 Ogos - Majoriti rakyat Britain beranggapan bahawa dasar luar kerajaan Perdana Menteri Tony Blair menjadikan negara ini lebih terdedah kepada ancaman serangan pengganas. Sentimen tersebut turut menjadi faktor yang menyebabkan sokongan terhadap Parti Buruh pimpinan Blair merosot ke paras terendah dalam tempoh 19 tahun. Tinjauan Guardian-ICM terhadap 1,007 orang dewasa pada hujung minggu lalu mendapati, 72 peratus daripada mereka berpendapat dasar luar kerajaan telah meningkatkan ancaman pengganas terhadap Britain.
Tinjauan sama yang disiarkan oleh akhbar Guardian hari ini juga menunjukkan bahawa sokongan terhadap Parti Buruh menurun empat peratus kepada 31 peratus, iaitu paras terendah sejak 1987.
Dalam pada itu sokongan terhadap parti pembangkang utama, Parti Konservatif meningkat kepada 40 peratus, iaitu paras tertinggi sejak 1992.
Sokongan terhadap parti pembangkang kedua terbesar, Parti Demokrat Liberal bertambah lima peratus kepada 22 peratus.
Sekiranya keputusan itu diperoleh dalam pilihan raya umum, Parti Konservatif akan memenangi majoriti di Parlimen dengan kelebihan 10 kerusi.
Blair dikecam hebat sejak sebulan lalu kerana menyokong pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush yang enggan menuntut gencatan senjata awal dalam konflik antara Israel dengan Hizbullah di Lebanon.
Tinjauan itu juga mendapati pengundi British meragui dakwaan yang dibuat oleh para menteri mengenai ancaman keganasan.
|