NEW YORK 13 Ogos - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) terbabit secara rahsia merancang operasi pencerobohan tentera Israel ke atas pejuang Hizbullah lama sebelum dua askar Yahudi ditawan pada 12 Julai lalu. Wartawan Seymour Hersh dalam majalah The New Yorker melaporkan, Presiden George W. Bush dan Naib Presiden Dick Cheney yakin kejayaan operasi pengeboman Israel ke atas Hizbullah akan mengurangkan kebimbangan keselamatan Israel.
Menurut wartawan yang pernah menerima Hadiah Pulitzer itu, tindakan tersebut merupakan serangan awal bertujuan memusnahkan kemudahan nuklear Iran.
Memetik kenyataan pakar Asia Barat yang mengetahui pemikiran semasa kerajaan rejim Yahudi dan AS, Israel telah merancang serangan ke atas Hizbullah - dan berkongsi rancangan itu dengan para pegawai pentadbiran Bush sebelum 12 Julai.
Pakar terbabit menambah, White House mempunyai beberapa alasan bagi menyokong pengeboman ke atas Lebanon.
Hersh berkata, jika ada sebarang cadangan menyerang Iran maka senjata Hizbullah perlu dihapuskan bagi mengelak serangan balas terhadap Israel.
|