Dalam pertempuran kelmarin, 12 anggota tentera Yahudi terbunuh manakala dalam pertempuran semalam, lima lagi askarnya maut di tangan Hizbullah.
Ketika konflik memasuki hari ke-24, pemimpin Hizbullah, Sheik Hassan Nasrallah menawarkan untuk menghentikan serangan sekiranya Israel menamatkan serangan udaranya terhadap Lubnan
Dalam serangan Hizbullah terhadap perkampungan utara Israel, Maalot, dekat sempadan Lubnan, tiga penduduk Yahudi terbunuh selepas 40 roket dilancarkan ke situ, kata ahli perubatan dan polis,
Lima lagi penduduk Israel maut dalam serangan roket Hizbullah ke pesisiran pantai Acre, kira-kira 25 kilometer ke selatan Lubnan.
Sementara itu, dalam ucapan menerusi televisyen, Nasrallah berkata, kumpulannya akan menjadikan Tel Aviv sebagai sasaran sekiranya Israel melancarkan serangan ke bahagian tengah Beirut
Tetapi, katanya lagi, serangan roket akan dihentikan jika Israel menamatkan kempen pengeboman ke atas Lubnan.
Jika anda menyerang Beirut, pejuang kami akan menyerang Tel Aviv dan kami berupaya melakukannya, kata Nasrallah, sekali gus mengesahkan Hizbullah memiliki rangkaian peluru berpandu jarak jauh yang mampu sampai hingga 130 kilometer ke dalam Israel jika dilancarkan dari sempadan.
Sementara itu, di Jakarta, seorang pemimpin Muslim Asia Tenggara mendakwa lebih 200 pejuang sudah dikerah bagi menyertai misi membalas dendam ke atas Israel dan negara sekutunya berikutan serangan ganas rejim Zionis itu ke atas wilayah Palestin dan Lubnan.
Pengerusi Pergerakan Pemuda Muslim Asean (AMYM), Suaib Didu berkata, pejuang terbabit sudah dilatih melakukan serangan berani mati.
Kami akan mengehadkan serangan ke atas sasaran berkepentingan Israel dan negara yang menyokong kezaliman rejim Yahudi itu di Palestin dan Lubnan. Kami tidak akan melakukan serangan secara membabi buta. katanya.
Kumpulan militan Indonesia sebelum ini pernah mendakwaan menghantar sukarelawan menyertai konflik di negara luar biarpun ada di antaranya disifatkan dakwaan berlebihan.
Malah, Muhammadiyah ? pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia yang berpendirian sederhana menyifatkan kenyataan pengerusi AMYM itu sekadar simbolik semata-mata.
Namun, Didu sebaliknya menegaskan satu perarakan lebih 3,000 sukarelawan akan diadakan di Pontianak, Kalimantan Barat, hari ini.
Ini, katanya, termasuk lebih 200 bekas Mujahidin atau pejuang veteran yang pernah berjuang bersama pejuang Afghan bagi memerangi pencerobohan Soviet di Afghanistan