ROM 7 Julai - Kesatuan Eropah (EU) dan Itali membidas Israel dengan menyifatkannya menggunakan pasukan tentera 'yang tidak seimbang' semata-mata untuk menjamin pembebasan askarnya yang ditahan di Gaza. Kerajaan Palestin pimpinan Hamas pula memberi amaran tindakan Israel meningkatkan serangan telah menyukarkan lagi usaha untuk menyelesaikan krisis penculikan seorang askar Israel.
"Isu penculikan askar telah menjadi bertambah rumit berbanding sebelum ini.
"Jika Israel berfikir pembunuhan Yahudi rakyat Palestin boleh memberi tekanan kepada Hamas untuk mendapatkan semula askar mereka yang diculik, mereka salah," kata Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Hamas memberi amaran itu ketika angka kematian ekoran serangan Isarael meningkat.
Pasukan tentera Israel membunuh 25 orang rakyat Palestin dalam serangan udara dan pertempuran dengan pihak tentera semalam dan hari ini dalam keganasan yang paling buruk sejak setahun lalu.
Perdana Menteri Finland, Matti Vanhanen berkata, tindakan tidak seimbang Israel itu hanya merumitkan lagi krisis kemanusiaan di Asia Barat.
"EU mengecam tindakan tidak seimbang pasukan pertahanan Israel yang mengorbankan banyak nyawa dan krisis kemanusiaan bertambah buruk," kata beliau yang negaranya merupakan pengerusi semasa EU.
"Penggunaan pasukan tentera dengan cara ini adalah tidak seimbang," kata Menteri Luar Itali, Massimo D’Alema, yang juga ketua parti politik terbesar kerajaan tengah kiri, pimpinan Romano Prodi.
"Jika difikirkan, hanya mahu menyelamatkan seorang tebusan, berpuluh-puluh nyawa terkorban," tambah beliau.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert telah mengarahkan kereta-kereta perisai memasuki ke Gaza sepanjang malam selepas pejuang pergerakan Hamas melepaskan tembakan roket ke bandar utama Israel buat kali pertama minggu lalu.
Serangan mendadak berlanjutan sejak ia bermula pada minggu lalu yang bertujuan untuk membawa pulang askar Israel, Koperal Gilad Shalit dan memberi tekanan kepada kerajaan Palestin yang menderita akibat sekatan bantuan dari Barat.
|