DUBAI 21 Julai - Pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah menyatakan dua askar Israel yang ditawan minggu lalu hanya akan dibebaskan dalam pertukaran tahanan, sekalipun Israel menjalankan kempen pengeboman ke atas bumi Lebanon sejak 10 hari lalu. Hassan yang kelihatan tenang dan penuh azam dalam wawancara dengan televisyen Al-Jazeera semalam berkata, tekanan antarabangsa untuk memaksa pejuang Hizbullah membebaskan askar berkenaan tidak akan membawa hasil.
"Jika seluruh alam semesta memberikan tekanan pun, askar Israel itu tidak akan dipulangkan melainkan menerusi rundingan tidak langsung dan pertukaran tahanan," katanya.
Kelmarin pesawat perang Israel mengebom sebuah kubu bawah tanah Hizbullah di selatan Beirut kerana mengesyaki pemimpin kanan pergerakan itu termasuk Hassan berada di dalamnya.
Bagaimanapun Hassan berkata, struktur kepimpinan Hizbullah masih utuh.
"Saya boleh mengesahkan struktur kepimpinan Hizbullah tidak terjejas.
"Semua dakwaan Israel bahawa mereka memusnahkan 50 peratus daripada keupayaan dan gudang roket kami hanya karut belaka," kata beliau.
Tempat persembunyian Hassan tidak diketahui dan wartawan Al-Jazeera yang mengendalikan wawancara itu melalui prosedur keselamatan ketat dan tidak mengetahui lokasi beliau berada.
|