LONDON 1 Julai - Pertubuhan Amnesty International menyifatkan tindakan tentera Israel yang sengaja menyerang infrastruktur dan harta benda awam di Genting Gaza sebagai jenayah perang dan pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Pertubuhan hak asasi manusia tersebut mendesak Israel mengambil langkah segera untuk membaiki kerosakan jangka panjang akibat serangannya itu di samping segera memulihkan bekalan elektrik dan air kepada penduduk Palestin di kawasan terbabit dengan perbelanjaannya sendiri.
"Selaku kuasa pendudukan, Israel terikat dengan undang-undang antarabangsa untuk melindungi dan menjaga hak-hak asasi penduduk Palestin," menurut Amnesty.
Tindakan memusnahkan satu-satunya stesen kuasa elektrik di Genting Gaza, serta sistem bekalan air, jambatan, jalan raya dan infrastruktur lain merupakan pencabulan terhadap Konvensyen Keempat Geneva serta membawa kesan kemanusiaan yang besar dalam jangka panjang terhadap 1.5 juta penduduk di wilayah itu.
Hampir separuh daripada penduduk Gaza kini tidak mendapat bekalan elektrik manakala bekalan air turut terputus di beberapa kawasan kerana tiadanya bekalan elektrik yang diperlukan untuk menjalankan pam air dan juga kerana kemusnahan saluran paip utama setelah jambatan dan jalan dibom.
"Kerosakan meluas berpunca daripada bedilan dan serangan udara Israel terhadap infrastruktur itu sejak beberapa hari lalu dianggarkan beberapa juta dolar AS dan memerlukan beberapa bulan untuk dibaiki," katanya.
"Jika tiada langkah kecemasan alternatif diambil untuk memulihkan bekalan elektrik dan air, kesihatan penduduk Palestin akan teruk terjejas."
|