BEIRUT 19 Julai - Israel hari ini meneruskan lagi serangan udara ke atas Lebanon dan membuat pencerobohan terhad menyeberangi sempadan, menyebabkan sekurang-kurangnya 54 penduduk awam terkorban, sementara beribu-ribu lagi bersedia untuk melarikan diri tatkala konflik memasuki minggu kedua tanpa sebarang tanda akan reda. Tentera Israel berkata, beberapa unit tentera daratnya telah menyeberangi sempadan bagi menyerang hendap kedudukan pejuang Hizbullah secara "terhad" tatkala pesawat-pesawatnya membedil kubu kuat kumpulan itu di Beirut dan kawasan Shweifat.
Selain menggunakan jet pejuang, rejim Tel Aviv dilapor menggunakan bot-bot tempur bagi membedil kawasan penempatan di pesisir pantai.
Sekurang-kurangnya 21 penduduk kampung terbunuh dan 30 cedera dalam serangan udara Israel yang telah memusnahkan beberapa buah rumah di Srifa.
"Ada pembunuhan beramai-ramai di Srifa," kata ketua kampung, Afif Najdi kepada televisyen Al Arabiya.
"Ramai yang terkorban dan ada kemusnahan besar. Perkhidmatan kecemasan berusia memadam kebakaran tetapi mereka tidak dapat tiba di rumah yang terkena bedilan untuk membantu mangsa."
Sekurang-kurangnya 33 penduduk awam terbunuh dalam serangan udara di beberapa bahagian selatan dan timur Lebanon, sementara Hizbullah memaklumkan, seorang pejuangnya terkorban.
Konflik yang dicetuskan oleh Israel ini menyebabkan 100,000 penduduk Lebanon meninggalkan kediaman masing-masing bersama warga asing.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menyifatkan Hizbullah sebagai punca kepada konflik semasa dan menuduh Syria yang menyokong kumpulan pejuang ini berusaha "kembali ke Lebanon" setahun selepas ia mengundurkan tentera dari Lebanon.
Bush juga bercakap dengan Raja Abdullah dari Arab Saudi mengenai krisis di Lebanon dan kedua-duanya menyatakan kebimbangan berlakunya krisis kemanusiaan dan bersetuju untuk menghulurkan bantuan.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pula menuduh Hizbullah bekerjasama dengan Iran semasa menawan askarnya dengan tujuan mengalih tumpuan daripada program nuklear milik Teheran.
Olmert berkata, tidak ada jangka masa dalam tindakan ofensif dan tidak akan berunding dengan Hizbullah tetapi menuntut supaya kumpulan pejuang itu dilucutkan senjata.
Dalam pada itu, masyarakat dunia menyatakan, Hizbullah perlu membebaskan terlebih dahulu dua skar rejim Tel Aviv yang ditawan.
Lewat semalam, Perancis telah mencadangkan supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan resolusi mengadakan gencatan senjata berpanjangan di Asia Barat, pembebasan askar Israel dan pembubaran kumpulan pejuang di Lebanon.
Bagaimana kerajaan di Beirut terlalu lemah untuk melucutkan senjata pejuang Hizbullah dan mahukan gencatan senjata dengan segera.
|