GAZA 3 Julai - Helikopter penggempur Israel membedil sasaran di Genting Gaza hari ini selepas Perdana Menteri, Ehud Olmert mengarahkan tentera memperhebatkan operasi untuk membebaskan seorang askar yang diculik. Olmert juga memberi amaran kepada para pemimpin kerajaan Palestin pimpinan Hamas bahawa sesiapa sahaja di kalangan mereka boleh menjadi sasaran serangan.
Sebuah helikopter melancarkan peluru berpandu ke sebuah bangunan di Bandar Gaza yang didakwa oleh tentera Israel digunakan oleh pejuang Palestin.
Gerakan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas berkata, bangunan yang dibedil itu digunakan oleh sebuah badan kebajikan.
Saksi berkata, Hamas juga mempunyai pejabat di situ.
Dua peluru berpandu turut mengenai kawasan di utara Gaza dekat pekan Beit Lahiya dan menyebabkan seorang cedera ringan.
Ugutan Olmert itu disuarakan selepas pesawat perang Israel melancarkan serangan peluru berpandu terhadap pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh sebelum subuh semalam.
"Saya telah memberikan arahan supaya diperhebatkan operasi tentera dan pasukan keselamatan bagi memburu pengganas, pihak yang menghantar mereka dan yang melindungi mereka," kata Olmert dalam mesyuarat Kabinet semalam.
"Saya akan mengulangi amaran sebelum ini bahawa tidak ada sesiapa yang memiliki kekebalan."
Israel mengerahkan askar dan kereta kebalnya ke selatan Genting Gaza pada Rabu lalu selepas kumpulan pejuang Palestin termasuk daripada sayap bersenjata Hamas menculik Koperal Gilad Shalit dalam satu serangan ke seberang sempadan seminggu lalu.
Beberapa pegawai Palestin berkata, usaha yang diketuai oleh Mesir untuk membebaskan Shalit diteruskan tetapi menemui jalan buntu disebabkan serangan Israel terhadap wilayah 1.4 juta penduduk itu.
Seorang pegawai yang mengikuti rundingan berkata, perantara akan menggantung penglibatan mereka malam ini jika Hamas enggan bertolak ansur.
"Situasi sekarang begitu rumit tetapi saya masih menaruh harapan penyelesaian akan dicapai secara aman," kata pegawai kanan kepada Mahmoud, Saeb Erekat.
|