BANDAR GAZA 3 Julai - Tiga kumpulan pejuang Palestin yang menahan seorang askar Israel memberi tempoh sehingga pukul 6 pagi esok (11 pagi waktu Malaysia) kepada rejim Yahudi untuk mula membebaskan tahanan Palestin atau 'menanggung segala akibatnya pada masa depan'. Kenyataan yang difaks kepada agensi-agensi berita hari ini tidak menjelaskan akibat yang bakal ditanggung oleh Israel.
"Kami memberi rejim Zionis tempoh sehingga pukul 6 pagi esok, 4 Julai," menurut kenyataan itu.
"Jika pihak musuh tidak memenuhi tuntutan kemanusiaan yang kami sebut dalam risalah terdahulu berhubung syarat-syarat pembebasan askar yang hilang itu, kami akan menganggap fail askar tersebut sebagai sudah tutup dan pihak musuh perlu menanggung segala akibatnya pada masa akan datang."
Koperal Gilad Shalit, 19, ditawan pada 25 Jun lalu dalam serangan ke seberang sempadan dari Genting Gaza oleh pejuang Palestin yang ada hubungan dengan Hamas, Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC) dan Tentera Islam.
|