GENEVA 6 Julai - Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengutuk tindakan ketenteraan Israel di Genting Gaza dan memutuskan untuk menghantar pakar hak asasi PBB dalam misi segera ke rantau itu. Dalam resolusi yang disokong oleh 29 undi berbanding 11 undi menentang, majlis yang mempunyai 47 anggota itu mendesak Israel menghentikan tindakan ketenteraan dan membebaskan para menteri Palestin dan lain-lain pegawai atau ahli Parlimen serta penduduk awam yang telah ditahan.
Lima negara mengambil pendirian berkecuali.
Resolusi yang dibawa oleh negara-negara Islam itu menyatakan kebimbangan pelanggaran hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin oleh penguasaan Israel termasuk operasi tentera secara besar-besaran yang dijalankan sekarang.
Majlis itu juga memutuskan untuk menghantar misi segera mencari fakta oleh Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang ditakluk.
|