BAGHDAD 1 Julai - Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dan 98 lagi cedera apabila satu letupan bom kereta menggegarkan sebuah pasar penuh sesak di kawasan kediaman miskin Syiah, dekat sini hari ini. Serangan itu adalah yang paling dahsyat dalam tempoh beberapa minggu ini.
Dalam pada itu, seorang anggota Parlimen wanita daripada masyarakat Arab Sunah diculik bersama-sama tujuh pengawal peribadinya oleh sekumpulan lelaki bersenjata di timur laut Baghdad, kata rakan-rakannya.
Menurut polis, letupan itu berlaku ketika sebuah kereta peronda polis lalu dekat sebuah kereta yang tidak bergerak di daerah Bandar Sadr, kubu kuat militia Tentera Mehdi pimpinan ulama Syiah, Moqtada Al-Sadr.
Orang ramai yang berhimpun di tempat kejadian turut menyerang pemberita sejurus yang tiba untuk melaporkan kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi (2 petang waktu Malaysia).
Serangan itu adalah yang paling dahsyat di Iraq sejak tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh pemimpin Al-Qaeda di Iraq, Abu Musab Al-Zarqawi dalam satu serangan udara pada 7 Jun lalu.
Kejadian itu juga berlaku sehari selepas Osama bin Laden memuji warga Jordan dan menyifatkannya sebagai 'Singa Jihad' dalam satu rakaman di Internet dan menyeru gerila Sunah melancarkan serangan membalas dendam.
Perdana Menteri, Nuri Al-Maliki mengarahkan tentera AS dan Iraq melancarkan operasi keselamatan di Baghdad tiga minggu lalu tetapi hasilnya kurang menggalakkan.
Seorang pegawai AS berkata semalam, serangan itu sebenarnya telah meningkat kerana anggota polis dan tentera kini membanjiri jalan raya dan melancarkan lebih banyak pemeriksaan rambang.
|