BAITULMAQDIS 18 Julai - Tentera Israel enggan menolak kemungkinan melancarkan serangan darat besar- besaran terhadap Lebanon dalam kempen ketenteraannya untuk memaksa pejuang Hizbullah membebaskan dua askar Israel dan berhenti melancarkan roket ke atas negara Yahudi itu. Timbalan ketua tentera Israel, Moshe Kaplinsky memberitahu Radio Israel hari ini bahawa tentera mempunyai pelbagai kemungkinan untuk bertindak.
"Pada peringkat ini kami tidak fikir kami perlu menggerakkan tentera darat ke Lebanon, tetapi kami akan mengambil langkah ini jika perlu. Kami tidak menolak kemungkinan ini," katanya.
Pesawat perang Israel menggempur bumi Lebanon buat hari ketujuh hari ini, mengakibatkan 26 orang terbunuh dan rejim Yahudi itu berikrar untuk meneruskan kempennya bagi menghancurkan Hizbullah selama beberapa minggu lagi.
Sembilan penduduk awam, semuanya dari sebuah keluarga termasuk kanak-kanak terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan udara yang memusnahkan sebuah rumah di kampung Aitaroun, selatan Lebanon.
Israel telah menghimpunkan askar, kereta kebal dan meriam dekat sempadan utara dengan Lebanon.
Ia juga telah memanggil ribuan askar simpanan untuk dikerahkan pada bila-bila masa.
Tiga kereta kebal Israel menceroboh masuk beberapa ratus meter ke selatan Lebanon petang semalam, kata satu sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pencerobohan sebelum ini didakwa oleh Israel telah memusnahkan kedudukan Hizbullah.
Keganasan Israel sejak tujuh hari lalu telah membunuh 230 orang, hampir kesemuanya penduduk awam Lebanon di samping mendatangkan kemusnahan terbesar di negara ini dalam tempoh 20 tahun
Pelabuhan, jalan raya, jambatan, kilang dan stesen minyak antara sasaran utama bedilan Israel itu.
Hizbullah bertindak balas dengan membedil sebuah kapal tentera laut Israel dekat Beirut dan melancarkan ratusan roket ke utara Israel, menyebabkan 24 penduduk terkorban termasuk 12 orang awam.
|