BAITULMAQDIS 5 Julai - Para pemimpin Israel hari ini mengarahkan tentera mempertingkatkan operasi darat ke atas Genting Gaza dengan memberi kebenaran kepada askarnya bergerak ke kawasan kediaman dan membentuk "zon keselamatan" bagi menghalang serangan roket para pejuang Palestin. Keputusan Kabinet Keselamatan Israel itu membayangkan negara Yahudi itu bersedia untuk menduduki semula Gaza, tidak sampai setahun ia berundur.
Perdana Menteri, Ehud Olmert mengadakan mesyuarat tergempar hari ini apabila Hamas berjaya melancarkan serangan roket Qasam ke dalam wilayah Israel dan mengenai sebuah sekolah.
Israel turut meneruskan tekanan terhadap kerajaan Palestin pimpinan Hamas dengan melancarkan serangan udara dan peluru berpandu yang merosakkan bangunan Kementerian Dalam Negeri Palestin di Gaza.
Serangan udara yang mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang telah dilancarkan selepas beberapa jam kumpulan pejuang yang dikaitkan dengan Hamas melancarkan roket yang mengenai salah satu bandar di selatan Israel, Ashkelon.
Penduduk Gaza turut terjaga daripada tidur akibat letupan dan runtuhan bangunan Kementerian Dalam Negeri selepas terkena bedilan tentera Israel.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya tidak takut dengan sebarang ancaman daripada Zionis walaupun Israel mengugut akan membunuh para pemimpin kumpulan pejuang ini.
"Jika pertumpahan darah berlaku di Gaza, jalan-jalan raya dan komuniti di entiti Zionis tidak akan terlepas," tegas Hamas.
Israel turut mengerahkan kereta-kereta kebalnya ke utara Gaza yang menjadi tempat pelancaran roket Qasam tetapi terpaksa dihentikan kerana bimbang tentangan sengit kumpulan pejuang.
|