BANDAR GAZA 4 Julai - Pejuang Palestin yang menahan seorang askar Israel menyatakan mereka tidak akan memberikan maklumat lanjut mengenai askar itu kerana Israel tidak mempedulikan tempoh akhir yang diberikan untuk membebaskan tahanan Palestin. Rejim Yahudi itu menegaskan pihaknya tidak akan berunding dengan kumpulan pejuang itu.
Jurucakap Tentera Islam, Abu Muthana enggan menyatakan sama ada askar berkenaan, Koperal Gilad Shalit, 19, masih hidup atau sudah mati.
"Kami tidak akan mendedahkan sebarang maklumat yang akan menggembirakan atau melegakan rejim pendudukan," katanya hari ini.
"Sama ada dia dibunuh atau tidak, kami tidak akan mendedahkan nasib askar itu. Perbincangan sudah ditutup," tegas Abu Muthana.
Bagaimanapun dia berkata kemudian: "Kami tidak membunuh tawanan. Ajaran Islam menghendaki kami melayan tawanan dengan baik dan adil."
Tentera Islam itu tidak dikenali sebelum Shalit ditawan dalam satu serangan pejuang terhadap pos tentera Israel pada 25 Jun lalu.
Dua lagi kumpulan Palestin iaitu sayap bersenjata Hamas dan Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC) turut mengaku terlibat dalam penculikan itu.
Semalam, kumpulan pejuang tersebut membayangkan mereka mungkin membunuh Shalit jika tuntutan mereka tidak dipenuhi selewat-lewatnya pukul 6 pagi ini (11 pagi waktu Malaysia). Mereka menuntut Israel membebaskan 1,500 tahanan dari penjara rejim Yahudi itu. Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert menolak sebarang rundingan dengan pejuang Palestin dan tentera Israel meneruskan serangan di Gaza.
Sumber keselamatan Palestin pula berkata, Israel telah menambah bilangan kereta berperisai di utara Genting Gaza.
Malam tadi serangan udara Israel di utara Gaza membunuh seorang pejuang Palestin dan mencederakan dua lagi.
Di Bandar Gaza, satu serangan peluru berpandu Israel mengenai Universiti Islam, sebuah kubu kuat Hamas.
Tentera Israel mendakwa ia telah menyerang sebuah bangunan yang digunakan oleh Hamas untuk merancang serangan.
Dalam pada itu sumber Hamas memetik diplomat Barat sebagai berkata, Israel telah menyediakan senarai 13 pemimpin Hamas untuk dibunuh diketuai oleh pemimpin politiknya di Damsyik, Khaled Meshaal dan termasuk Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan Menteri Luar, Mahmoud Zahar
|