Serangan sebelum subuh itu menjadikan episod konflik di Asia Barat semakin rumit, malah bertambah tegang kerana rejim tersebut kini melibatkan sama negara lain dalam pertikaiannya dengan Palestin.
Israel menggunakan alasan yang sama untuk membolehkan serangan itu dilancarkan iaitu membalas dendam ke atas pembunuhan dan penawanan tenteranya oleh pejuang Hizbullah.
Ia merupakan pertempuran paling sengit selepas Israel berundur dari selatan Lebanon yang didudukinya selama 22 tahun.
Semalam, dalam pertempuran di sempadan Lebanon-Israel, pejuang Hizbullah berjaya membunuh lapan askar Israel dan menawan dua yang lain.
Pada masa yang sama, rejim itu juga terus melancarkan serangan di Gaza dan kini sudah membunuh lebih 70 rakyat Palestin hanya dengan alasan untuk membebaskan seorang askarnya yang diculik, Koperal Gilad Shalit.
Kejadian terbaru ini sekali gus merencatkan pelan damai di Palestin yang direncanakan oleh Allahyarham Yasser Arafat dan disusuli oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sebelum menemui jalan buntu selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin lalu.
Dalam serangan hari ini, jet-jet pejuang Israel dilaporkan melepaskan peluru berpandu ke atas dua landasan lapangan terbang yang baru dibaik pulih, menyebabkan semua penerbangan dialihkan ke Cyprus serta membawa kepada penutupan lapangan terbang itu.
Polis Lebanon memberitahu, sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh, termasuk 10 kanak-kanak semasa pencerobohan Israel di selatan negara ini.
Bagaimanapun, pejuang-pejuang Hizbullah bertindak balas melancarkan serangan roket ke utara Israel yang menyebabkan seorang wanita Yahudi maut.
Israel kini dilihat semakin agresif dan mengetepikan apa juga amaran dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga bakal mencetuskan krisis kemanusiaan.
Para pemimpin dunia perlu merayu agar pertelingkahan yang timbul dapat diredakan walaupun sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) menuduh Syria bertanggungjawab terhadap pertempuran di sempadan Lebanon-Israel.
Hizbullah yang bertanggungjawab memaksa Israel berundur dari selatan Lebanon pada Mei 2000 pula menuntut pembebasan tahanan Arab sebagai ganti kepada askar Yahudi yang ditawan.
Mereka (askar Israel yang ditawan) akan kembali ke rumah selepas rundingan tidak langsung dan pertukaran tahanan, kata pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.
Menurutnya, penawanan askar Israel itu bertujuan menarik perhatian antarabangsa berhubung penahanan beribu-ribu penduduk Lebanon, Palestin dan Arab.
Bagaimanapun Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert menolak sebarang rundingan.
Sementara itu di Baitulmaqdis, tentera udara Israel bersedia meneruskan serangan di kawasan-kawasan lain sekiranya kerajaan negara itu gagal mengawal pejuang Hizbullah, kata ketua tentera Israel hari ini.
Brigedier Jeneral Dan Halutz mendakwa, kesemua pemimpin kanan pejuang Hizbullah menetap dan mempunyai pejabat di kawasan Dahiya di selatan Beirut dan menyatakan kawasan itu termasuk dalam sasaran utama sekiranya serangan roket ke atas utara Israel diteruskan.
Tiada apa yang selamat (di Lebanon), semudah itu, katanya sambil mengingatkan penduduk Dahiya supaya memahami situasi tersebut dan membuat keputusan terbaik demi keselamatan mereka sendiri.
Jelasnya, Israel akan meneruskan serangannya ke atas Lebanon sehingga matlamatnya iaitu mendesak pejuang Hizbullah berundur dari sempadan Israel-Lebanon.
Sementara itu, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, pejuang Hizbullah melancarkan 60 serangan roket ke atas bandar-bandar di utara Israel dan mencederakan tujuh orang, seorang daripadanya mengalami kecederaan serius.
Menurutnya, serangan roket tersebut mengenai pusat penyerapan pendatang tanpa izin dan sebuah kolej, manakala satu daripada roket tersebut jatuh berdekatan sebuah stesen minyak menyebabkan dua orang cedera