BANDAR GAZA 2 Julai - Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh menggesa masyarakat antarabangsa supaya campur tangan bagi menghentikan serangan tentera Israel di Genting Gaza. "Ia satu serangan ke atas simbol Palestin. Kami meminta masyarakat antarabangsa dan Liga Arab melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat kami dan campur tangan bagi menghentikan serangan ini," kata Ismail sewaktu meninjau tapak serangan udara Israel yang disasarkan ke atas pejabatnya di Gaza hari ini.
Bangunan itu terbakar dalam serangan tersebut, yang dilancarkan untuk malam kelima berturut-turut, tetapi tiada siapa tercedera.
Ismail menyifatkan operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh tentera Israel untuk membebaskan askarnya yang diculik seminggu lalu sebagai satu "dasar yang tidak siuman."
Sayap bersenjata dalam pergerakan Hamas pimpinan Ismail adalah di antara tiga kumpulan militan Palestin yang mendakwa bertanggungjawab ke atas penculikan askar Israel itu, Koperal Gilad Shalit, 19, pada 25 Jun lalu.
Usaha-usaha perantaraan yang diketuai oleh Mesir dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas gagal untuk mendapatkan pembebasan Shalit.
Semalam, Israel menolak mentah- mentah tuntutan kumpulan penculik supaya membebaskan 1,000 banduan Palestin sebagai syarat untuk pembebasan askar itu.
|