BANDAR GAZA 12 Julai - Serangan udara Israel yang disasarkan terhadap komander-komander kanan Hamas di Gaza awal hari ini membunuh 18 rakyat Palestin dan meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat di mana pemimpin pejuang Palestin itu dipercayai bermesyuarat. Tentera Israel mendakwa serangan itu mencederakan ketua sayap bersenjata Hamas, Mohammad Deif yang merupakan orang paling dikehendaki oleh rejim Yahudi.
Dalam satu kenyataan, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam menjanjikan tindakan balas yang keras dan menyakitkan puak Zionis termasuk serangan terhadap penduduk awam Israel.
Serangan Israel tersebut dilancarkan serentak dengan pencerobohan kereta kebal dan askar Israel ke tengah Genting Gaza dalam tindakan yang meluaskan operasi tentera Yahudi ke wilayah itu.
Seorang jurucakap Briged Al-Qassam menafikan yang Mohammad mengalami kecederaan.
Mohammad dianggap sebagai wira oleh penduduk Palestin kerana sudah beberapa kali terselamat dalam percubaan Israel untuk membunuhnya.
Sepasang suami isteri dan tujuh daripada sembilan anak mereka merupakan sembilan mangsa yang maut dalam serangan udara yang meranapkan bangunan di pinggir Bandar Gaza itu manakala 30 yang lain cedera.
Tentera Israel melaporkan, Mohammad berada di dalam bangunan itu dan beliau menjadi sasaran kerana maklumat perisikan menunjukkan beliau dan komander kanan Hamas yang lain sedang merancang serangan terhadap Israel.
"Kami tahu dia cedera tetapi tidak pasti tahap kecederaannya," kata seorang jurucakap tentera Israel.
Sumber keselamatan memberitahu, tentera Israel yang mengepung kem pelarian Deir al-Balah telah menembak mati seorang anggota polis Palestin berhampiran kampung Abu el Ajin di tengah Genting Gaza.
Seorang anggota militan dari Jawatankuasa Perjuangan Popular pula telah ditembak mati dalam pertempuran di kawasan yang sama.
Dua penduduk Palestin lagi terbunuh ketika Israel membedil timur Deir al-Balah manakala dua orang yang lain mati dalam serangan udara Israel terhadap kenderaan yang mereka naiki di bandar Khan Yunis.
Seorang lagi anggota polis Palestin terbunuh apabila pesawat pejuang Israel melepaskan tembakan peluru berpandu terhadap sebuah balai polis di kampung Qarara, timur Khan Yunis.
|