Ia merupakan protes besar-besaran pertama kali diadakan sejak Israel memulakan serangan minggu lalu.
Protes peringkat global dijangka berterusan hari ini dan esok di bandar-bandar lain.
Penduduk pelbagai negara - dari kota Jakarta sehingga Caracas, keluar berarak bagi membantah kezaliman tentera Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon yang telah mengorbankan ramai rakyat yang tidak berdosa.
Di Jakarta, seramai 300 penunjuk perasaan yang diketuai oleh penganjur, Nana Juhana berarak di sekitar ibu negara Indonesia itu selepas sembahyang solat Jumaat.
Sebahagian daripada memegang sepanduk yang membawa mesej "Israel ialah syaitan dan pengganas sebenar" manakala sebahagian pula mengibarkan bendera Palestin.
Keadaan yang hampir serupa berlaku di ibu kota Bangladesh, Dhaka, apabila kira-kira 300 penunjuk perasaan, kebanyakannya anggota kumpulan konservatif, berarak secara aman di hadapan masjid utama Dhaka, Baitul Mokarram selepas sembahyang solat Jumaat.
Di Senegal, lebih daripada 2,000 penduduk Lebanon bertindak menutup premis perniagaan mereka dan berkumpul di pinggir bandar Dakar dalam tunjuk perasaan yang diluluskan oleh kerajaan.
Penduduk Lebanon yang menetap di Mauritania dan Sierra Leone pula menyeru masyarakat antarabangsa agar lebih aktif dalam meleraikan konflik di Lebanon yang semakin buruk.
Sentimen kebencian terhadap Israel turut dirasai di beberapa negara Amerika Selatan dan Amerika Utara seperti di Venezuela, Mexico dan El Salvador apabila penduduk turut keluar untuk memberi sokongan moral kepada penduduk Lebanon dan Palestin.
Tindakan yang sama turut diadakan di Sepanyol, Argentina, Korea Selatan, Filipina, Pakistan, Jordan, Iraq, Palestin, Mesir, India, Libya dan Syria.