MADRID 23 Julai - Menteri Penerangan Syria hari ini memberi amaran kepada Israel bahawa negaranya akan menyertai konflik Asia Barat jika rejim Yahudi melancarkan serangan darat besar-besaran terhadap Lebanon. "Jika askar Israel memasuki Lebanon, mereka boleh mara ke dalam lingkungan 20 kilometer dari Damsyik," kata Moshen Bilal kepada akhbar Sepanyol, ABC di sini.
"Apakah yang patut kami lakukan? Berpeluk tubuh? Sudah tentu tidak. Tanpa syak lagi Syria akan campur tangan dalam konflik," katanya.
Menurut Moshen, Syria mahu gencatan senjata diadakan secepat mungkin berserta pertukaran tahanan.
Beliau berusaha ke arah itu dengan Menteri Luar Sepanyol, Miguel Angel Moratinos yang ditemuinya di sini.
Bagaimanapun Moshen menambah: "Saya mengulangi amaran ini, jika Israel melancarkan serangan darat terhadap Lebanon dan menghampiri sempadan kami, Syria tidak akan berdiam diri."
Israel telah menyatakan ia mahu memaksa pejuang Hizbullah berundur sehingga 20 kilometer dari sempadannya.
|