MARJAYOUN, Lebanon 12 Julai - Pejuang Hizbullah hari ini menawan dua askar Israel dalam serangan dari Lebanon terhadap pos- pos sempadan Israel. Stesen televisyen Israel, Channel 10 melaporkan bahawa kehilangan dua askar dari kawasan sempadan telah disahkan oleh tentera Israel.
Sumber keselamatan Israel menyatakan, sekurang-kurangnya tiga askar Israel terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan pejuang Hizbullah itu.
Radio tentera Israel melaporkan pasukan tentera darat rejim itu dengan bantuan pesawat perang menyeberangi sempadan ke Lebanon untuk mencari askar yang diculik itu.
Penculikan askar berkenaan meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Israel telah pun melancarkan operasi besar-besaran tenteranya di Genting Gaza selepas pejuang Palestin menculik seorang askar dalam serangan ke seberang sempadan pada 25 Jun lalu.
"Pejuang Islam menunaikan ikrarnya untuk membebaskan tahanan Arab dengan menawan dua askar Israel di kawasan sempadan dengan wilayah Palestin yang diduduki," menurut kenyataan Hizbullah.
Pasukan keselamatan Lebanon berkata, pesawat udara Israel bertindak balas dengan mengebom sebuah jambatan utama di selatan Lebanon, menyebabkan dua orang awam Lebanon maut dan seorang askarnya cedera.
Sebelum itu pejuang Hizbullah melancarkan puluhan roket Katyusha dan bom mortar ke pos-pos sempadan dan sebuah pekan di Israel dalam serangan yang mencederakan empat rakyat Israel.
|