BEIRUT 15 Julai – Seramai 18 orang awam terbakar hidup-hidup hari ini apabila sebuah helikopter Israel yang dilengkapi dengan senjata menembak ke arah konvoi penduduk Lebanon mereka ketika cuba melarikan diri dalam serangan itu. Menurut sumber hospital dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mangsa serangan tersebut termasuk sembilan orang kanak-kanak.
Sementara itu, tujuh lagi terbunuh dalam serangan berasingan di jambatan dan stesen minyak di timur dan selatan Lebanon.
Perbahasan mengenai Lebanon di Majlis Keselamatan PBB berakhir semalam tanpa sebarang tindakan berhubung tuntutan Beirut supaya Israel menghentikan serangan udara terhadap negara itu.
Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) tetap menyalahkan Iran dan Syria sebagai pencetus krisis itu.
Perbahasan semalam menonjolkan perpecahan dalam Majlis Keselamatan antara AS dengan negara-negara anggota lain.
Duta AS ke PBB, John Bolton bersendirian dengan pendiriannya untuk tidak menuntut Israel membendung serangan terhadap Lebanon dan Genting Gaza.
"Syria dan Iran mesti dipertanggungjawabkan kerana menyokong keganasan serantau dan peranan mereka dalam krisis sekarang," dakwa Bolton.
Beliau mengutuk kedua-dua negara itu kerana membantu dan melindungi kumpulan pejuang seperti Hizbullah dan sayap bersenjata Hamas.
Perbahasan khas itu diadakan atas permintaan Lebanon ketika pesawat perang Israel melancarkan serangan terhadap ibu pejabat Hizbullah di selatan Beirut serta sasaran lain.
Anggota Majlis bersepakat mengutuk tindakan Hizbullah menculik dua askar Israel dalam serangan Rabu lalu tetapi kebanyakan mereka juga melahirkan kebimbangan mengenai tindak balas tentera Israel yang digambarkan oleh Duta Perancis, Jean-Marc de La Sabliere sebagai 'keterlaluan'.
Kerajaan Lebanon telah meminta Majlis Keselamatan menggesa diadakan gencatan senjata menyeluruh serta menuntut Israel menghentikan sekatan dan serangan udara terhadap Lebanon.
"Kita bersidang dengan dibayangi oleh serangan meluas yang dilancarkan oleh Israel terhadap negara saya. Israel mahu menundukkan Lebanon dengan apa cara sekalipun," kata Duta Lebanon ke PBB, Nouhad Mahmoud.
|