| DEMI MASA |
| |
| Nordin Mat Top salah langkah - Abu Bakar |
| Jumaat, Jun 16, 2006 |
SOLO 15 Jun - Ketua Amir Majlis Mujahiddin Indonesia (MMI), Abu Bakar Basyir menganggap tindakan pengganas dari Malaysia, Nordin Mat Top atau sesiapa saja yang menggunakan kekerasan seperti meletupkan diri atas nama menegakkan syiar Islam sebagai salah langkah. Beliau menegaskan, golongan berkenaan perlu mengkaji semula tindakan mereka, apatah lagi jika ia dilakukan di wilayah aman dan bukannya di wilayah konflik.
Bagaimanapun katanya, mereka yang terbunuh tetap syahid kerana tindakan itu dibuat atas dasar menegakkan kedaulatan Islam dan menentang kezaliman yang dilakukan terhadap penganut agama suci tersebut.
''Menggunakan bom di wilayah aman adalah satu langkah salah, kita semua perlu ingat kalau bom selalu diledakkan di Indonesia, Amerika Syarikat akhirnya yang akan bertepuk tangan.
''Namun bagi mereka yang mati (disebabkan tindakan itu), mereka adalah mujahid kerana niatnya sudah 'lillahi taala', membela yang dizalimi,'' tegasnya.
Abu Bakar berkata demikian ketika menyampaikan pidato ulung selepas dibebaskan dari penjara, di hadapan para penyokong berhampiran rumahnya di kompleks Pondok Pesantren Al-Mukmin, Ngruki, Sukuharjo, di sini hari ini.
Utusan Malaysia merupakan satu-satunya akhbar Malaysia yang diberi kesempatan membuat liputan majlis berkenaan yang dibuat khas sebagai menyambut pembebasan tokoh tersebut daripada penjara Cipinang, Jakarta.
Malah wartawan dan jurugambar Utusan juga diberi penghormatan berada di barisan hadapan pada majlis yang dihadiri lebih 2,000 penyokong Abu Bakar yang datang dari segenap pelosok republik berkenaan.
Dalam ucapannya, Abu Bakar secara sinis turut meminta Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush dan Perdana Menteri Australia, John Howard berhenti memusuhinya.
Beliau juga meminta agar syariat Islam diperkenalkan di Indonesia menggantikan undang-undang sedia ada kerana baginya semua penganut Islam perlu fanatik jika mahu melihat agama itu dihormati.
''Kami tidak akan paksa orang bukan Islam memeluk Islam, namun orang bukan Islam tidak boleh paksa kami supaya jangan menegakkan undang-undang syariah di Indonesia,'' ujarnya.
Abu Bakar turut meminta Barat supaya tidak takut dengan kehadirannya kerana beliau hanya menyampaikan kebenaran seperti tertulis dalam Al-Quran.
''Mereka takut dengan lidah saya, tetapi mereka harus ingat kebangkitan Islam kelak bukan disebabkan Abu Bakar tetapi adalah kehendak Allah s.w.t
''Saya anggap penahanan saya selama ini sebagai cubaan dan tidak berhasrat membalas dendam, kamu semua juga harus begitu, dugaan akan tetap datang di dunia ini namun akhirat adalah tempat sebenarnya,'' katanya.
|
posted by jasindaily online @ 5:50 PTG  |
|
|
|
|
| DPPKJASIN |
|

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
| CORETAN YANG LALU |
|
| ARKIB |
|
|
| POWERED BY |
 |
|