KAHERAH 29 Jun - Kerajaan-kerajaan negara Arab hari ini menyuarakan kebimbangan dengan krisis Israel-Palestin yang makin meruncing dan mengecam Israel kerana menyebabkan penderitaan penduduk di Genting Gaza. Mereka menyifatkan tindakan Israel menghantar jet-jet pejuang untuk mengancam kediaman Presiden Syria, Bashar Assad sebagai sangat membimbangkan.
Menteri Luar Qatar menggambarkan krisis itu sebagai 'situasi genting'.
"Kita mungkin tidak bersetuju dengan Syria mengenai semua perkara, tetapi sekurang-kurangnya dalam situasi sekarang kita boleh mengambil pendirian yang jelas dan bukan hanya bercakap," kata Sheikh Hamad bin Jassem bin Jabr Al Thani di televisyen Al-Jazeera.
Di Jordan, Pergerakan Ikhwan Muslimin menyatakan, Israel yang melancarkan serangan di Gaza dan 'menghampiri pintu Syria semata-mata kerana seorang askarnya yang ditawan, sementara orang Arab, Islam dan dunia bebas terus membisu mengenai penangkapan 10,000 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.'
|