BANGKOK 23 Jun - Panel pendakwa raya Thailand yang bermesyuarat hari ini akan membuat keputusan Selasa ini sama ada hendak meminta Mahkamah Perlembagaan membubarkan Parti Thai Rak Thai (TRT) kerana melanggar undang-undang pilihan raya April lalu. Menurut pendakwa raya, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji laporan 2,000 muka surat yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (EC).
"Pada Selasa ini, kami akan memutuskan sama ada hendak meminta Mahkamah Perlembagaan membubarkan Thai Rak Thai atau tidak," kata seorang pendakwa raya, Attapol Yaisawang.
Mesyuarat itu diadakan sehari selepas EC mendapati TRT pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bersalah membiayai parti-parti kecil dalam pilihan raya yang kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah.
"Pendaftar Parti memutuskan bahawa Thai Rak Thai telah melanggar Artikel 66 Akta Parti Politik," kata jurucakap Pejabat Peguam Negara, Poramet Inchumnum dengan merujuk kepada ketua EC.
Kes itu berpunca daripada laporan panel EC bulan lepas yang mendapati dua pemimpin TRT membayar wang kepada dua parti kecil untuk bertanding menentang parti pemerintah.
Semasa pilihan raya April lalu, di banyak kawasan pilihan raya calon TRT bertanding tanpa dicabar disebabkan boikot tiga parti pembangkang utama.
Dalam pada itu, Thaksin mengesahkan penasihat undang-undang utama beliau telah berundur daripada Kabinetnya.
"Keputusan itu berkuat kuasa esok..... Beliau akan pergi,"kata beliau merujuk keputusan Wissanu Krea-ngam yang merupakan salah seorang daripada tujuh Timbalan Perdana Menteri Thailand.
Thaksin berkata, beliau tidak akan melantik pengganti Wissanu.
|