BAGHDAD: Kerajaan Iraq merangka pelan pengampunan besar-besaran ke atas pemberontak, kata pegawai yang rapat dengan Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, semalam ketika keganasan terus melanda menyaksikan berpuluh-puluh maut. Sementara itu, tentera Amerika Syarikat semalam, semakin terdesak untuk mencari dua anggota tenteranya yang dilaporkan hilang selepas serangan Jumaat lalu yang turut mengorbankan seorang lagi anggota tenteranya.
Sejak beberapa hari lalu, bandar raya Baghdad menyaksikan pertambahan sekatan jalan raya dan rondaan polis, hasil inisiatif al-Maliki untuk mengurangkan serangan dan keganasan di bandar itu.Pelan pengampunan itu dilihat turut memasukkan pemberontak yang didakwa melakukan serangan ke atas anggota keselamatan Iraq dan Amerika, turut menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa pusat dan jawatankuasa kecil untuk mengalu-alukan semula pemberontak itu ke dalam masyarakat, menurut versi yang disiarkan akhbar Iraq semalam. "Perkara utama adalah tiada sebarang peraturan khas melarang penyertaan mereka yang pernah terbabit dalam kegiatan pemberontakan dalam proses politik," kata ahli Parti Dawa yang dipimpin al-Maliki, Haidar Abadi.Pelan itu turut menggesa banduan dibebas dan diampunkan terutama mereka yang tidak terbukti bersalah atau penyertaan mereka dalam aktiviti keganasan kabur selain menyemak semula proses mengembalikan anggota Parti Baath pimpinan bekas presiden Saddam Hussein ke pangkuan masyarakat. Cadangan baru itu, kata seorang pegawai kanan Nouri, mengiktiraf kesukaran mengenal pasti pemberontak yang terbabit dalam serangan maut. |