TEHERAN 23 Jun - Iran yang kini berhadapan dengan kontroversi program nuklear memutuskan untuk menghentikan import petrol mulai 23 September ini selain memulakan catuan bekalan bahan api itu akibat masalah bajet yang ketat. Menteri Minyak Iran, Kazem Vazirin-Hamaneh hari ini berkata, ahli-ahli Parlimen Iran telah meluluskan belanjawan bagi tahun yang berakhir pada Mac 2007 yang mengurangkan perbelanjaan ke atas import petrol daripada RM14 bilion (AS$4 bilion) kepada RM9 bilion (AS$2.5 bilion).
Ini bermakna kerajaan Iran pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad terpaksa memilih sama ada menaikkan harga minyak atau mencatukan bekalannya.
Kedua-dua pilihan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Iran, khususnya masyarakat miskin.
"Kami akan membuat keputusan minggu depan bila kami akan mula mencatukan bekalan petrol. Memandangkan tiada peruntukan untuk mengimport petrol bagi tempoh enam bulan kedua tahun ini, maka importnya akan dihentikan dan bekalannya akan mula dicatu.
"Kami pasti 99 peratus harga minyak tidak akan dinaikkan, cuma bekalannya akan dicatukan," kata Kazem.
Walaupun Iran merupakan negara pengeluar minyak yang kedua terbesar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak, tetapi ia banyak bergantung pada import petrol.
Iran tidak mempunyai kapasiti untuk menapis minyak setelah kebanyakan daripada hasil pendapatan minyaknya dihabiskan ke atas perbelanjaan sosial.
Negara itu kini mengimport lebih 40 peratus daripada jumlah keperluan petrolnya iaitu 70 juta liter atau 440,000 tong sehari.
Kebanyakan daripada bekalan petrol diimport dari barat Eropah, dengan syarikat minyak Vitol menjadi pembekal utama, kata sumber-sumber pasaran minyak Iran.
Ekoran harga petrol yang murah, Iran juga menghadapi masalah penyeludupan petrol ke negara jirannya dan mengalami kerugian kira-kira RM3.7 bilion setahun.
Teheran kini mengkaji pakej insentif nuklear yang disediakan Barat dua minggu lalu dan dijangka memberi keputusan Ogos ini.
|