ABU GHARIB, Iraq 27 Jun - Kira-kira 450 lagi rakyat Iraq yang ditahan di beberapa penjara Iraq dan Amerika Syarikat (AS) dibebaskan hari ini sebagai sebahagian daripada rancangan perdamaian kebangsaan bertujuan bagi menghentikan pertumpahan darah di negara itu. Dengan pembebasan terbaru itu, jumlah tahanan yang dibebaskan setakat ini meningkat kepada lebih 2,500 orang.
Kumpulan tahanan keenam itu berkumpul di penjara Abu Gharib yang diuruskan oleh tentera AS di barat Baghdad sebelum mereka dibebaskan.
"Pembebasan anda hari ini adalah sebahagian daripada rancangan perdamaian kebangsaan yang diusahakan oleh perdana menteri," kata penasihat keselamatan kebangsaan Iraq, Muwaffaq al-Rubaie.
|