WASHINGTON 20 Jun - Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS) semalam mendakwa tiga anggotanya terlibat dalam pembunuhan terancang terhadap tiga orang tahanan di Iraq, bulan lalu. Menurut pegawai pendakwa di Pentagon, mereka yang terlibat ialah Corey R. Claget, William B. Hunsaker dan Raymond L. Girouard, dari batalion ketiga rejimen askar ke-187, Divisyen udara ke-101, yang kini ditahan di Kuwait.
Katanya, ketiga-tiga anggota tentera itu dituduh menembak tiga orang tahanan lelaki ketika mereka cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak menyatakan maklumat terperinci mengenai tuduhan membunuh itu.
Ketiga-tiga anggota tentera itu turut didakwa menghalang pengadilan dengan mengancam untuk membunuh seorang lagi anggota tentera yang menjadi saksi kejadian tersebut.
Kejadian itu dilaporkan berlaku semasa operasi ketenteraan berhampiran Terusan Thar Thar, utara wilayah Salahuddin, Iraq pada 9 Mei lalu.
Mereka yang sabit dengan kesalahan itu boleh dihukum mati.
|