PERTUBUHAN BANGSA - BANGSA BERSATU 4 Mei - Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis terus menekankan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Iran menghentikan cita-cita nuklearnya dan berkata, mereka akan mendesak dilaksanakan sekatan yang dicadangkan sekiranya negara itu gagal mematuhinya. Tetapi Rusia, yang mempunyai kuasa veto dalam majlis itu, semalam menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak akan menyokong sebarang sekatan atau resolusi baru tanpa pindaan.
Salah satu peruntukan utama dalam resolusi itu yang dibuat berdasarkan Bab 7 Piagam PBB menuntut Iran menggantung aktiviti berkaitan pengayaan dan pemprosesan semula termasuk penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan reaktor nuklear air berat.
Draf resolusi itu memberi amaran Majlis Keselamatan akan menimbangkan langkah seterusnya sekiranya perlu untuk memastikan pematuhan resolusi berkenaan, walaupun pemeriksaan seterusnya diperlukan sekiranya langkah tambahan itu hendak dilaksanakan.
Ia sebahagian daripada cadangan AS untuk sekatan akan datang yang dijangka ditolak oleh Rusia, satu-satunya kuasa besar yang menjalin kerjasama nuklear dengan Iran.
Sebaik saja teks resolusi itu diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan, Duta China ke PBB, Wang Guangya berkata: ''Saya tidak fikir draf ini akan menghasilkan keputusan yang baik. Saya fikir ia adalah lebih keras daripada yang dijangkakan.''
Bagaimanapun, Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin berkata, beliau berharap undian akan dijalankan sebelum Menteri-menteri Luar AS, Britain, Perancis, China, Rusia beserta Jerman dijadual bertemu di New York pada Isnin dan Selasa ini.
Rundingan akan bermula Khamis depan
|