TEL AVIV 10 Mei - Sebuah kumpulan yang mendakwa beroperasi bagi pihak Al-Qaeda mengedarkan risalah di Genting Gaza untuk mengumumkan penubuhan unit jihadnya di wilayah Palestin. Dalam risalah itu, Tentera Islam Al-Quds (Baitulmaqdis) mengancam untuk menyerang warga Amerika Syarikat (AS) dan puak Zionis tidak lama lagi.
''Kami akan menyerang kesemua mereka yang menyertai kempen Amerika dan Zionis memerangi Islam,'' menurut risalah yang disiarkan semalam.
Risalah itu mengumumkan kumpulan tersebut akan mula beroperasi di Palestin dan melancarkan serangan berani mati terhadap kedudukan Zionis dan tentera salib.
Tentera Islam Al-Quds memperkenalkan dirinya sebagai cabang Al-Qaeda dan mendakwa penubuhannya adalah sebagai menyahut seruan jihad di seluruh dunia daripada ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden dan pemimpin Al-Qaeda di Iraq.
Risalah itu merupakan petanda terbaru Al-Qaeda telah menyusup masuk ke Genting Gaza dan merancang untuk melancarkan operasi besar-besaran terhadap Israel.
Pada bulan lalu, anggota kumpulan pejuang Palestin, Jawatankuasa Perjuangan Rakyat di Gaza cuba melancarkan serangan bom kereta di Lintasan Karni, iaitu laluan kargo utama di antara Genting Gaza dan Israel.
Serangan itu dipatahkan pada saat-saat akhir selepas pasukan keselamatan Palestin curiga dan melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan yang menuju ke arah mereka
|