TEHERAN 8 Mei - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk mencadangkan 'penyelesaian baru'terhadap perbalahan antara kedua-dua negara. Surat itu merupakan yang pertama dalam tempoh 27 tahun daripada seorang pemimpin Iran kepada seorang Presiden AS.
Pengumuman itu dibuat ketika enam negara termasuk lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memulakan mesyuarat hari ini berhubung isu nuklear Iran.
Jurucakap kerajaan, Gholam-Hossein Elham memberitahu sidang media hari ini, surat berkenaan dihantar menerusi Kedutaan Switzerland di sini yang mengendalikan kepentingan AS di Iran.
Dalam surat itu, Mahmoud mencadangkan ''penyelesaian baru terhadap masalah antarabangsa dan jalan keluar daripada situasi dunia'' yang mudah meledak sekarang ini, kata Gholam-Hossein.
Jurucakap itu tidak menyebut tentang pertikaian nuklear iaitu isu utama yang mencetuskan perbalahan antara Washington dan Teheran.
AS kini mengetuai usaha Barat untuk mendesak Majlis Keselamatan meluluskan usul yang mengutuk Iran kerana enggan membekukan kegiatan pengayaan uranium. Perutusan itu menandakan kali pertama seorang Presiden Iran menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Amerika sejak 1979 apabila kedua-dua negara memutuskan hubungan selepas pelajar militan Iran menggempur Kedutaan AS di sini dan menahan kakitangannya sebagai tebusan selama setahun lebih.
Mahmoud semalam mengulangi ugutan Iran untuk menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) jika Majlis Keselamatan mengenakan sekatan terhadap Teheran disebabkan program nuklearnya.
|