TEHERAN 2 Mei - Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki mendakwa Rusia dan China telah memaklumkan negaranya secara rasmi yang mereka tidak akan menyokong sekatan atau tindakan ketenteraan terhadap republik Islam ini berhubung program nuklearnya. Pendirian itu dikeluarkan ketika menteri-menteri luar negara anggota tetap Majlis Keselamatan mengadakan pertemuan di Paris hari ini.
Duta-duta Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis ke Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dijangka membentangkan resolusi pada minggu ini untuk mewajibkan Iran mematuhi tuntutan Majlis Keselamatan PBB supaya segala kegiatan pengayaan uraniumnya dibekukan.
Apabila ditanya sejauh mana Rusia dan China akan menyokong Washington, Manouchehr memberitahu akhbar Iran, Kayhan: ''Kedua-dua negara memaklumkan kita secara rasmi dan menerusi rundingan diplomatik mengenai pendirian menentang sekatan dan tindakan ketenteraan.''
Katanya, pada peringkat ini beliau sendiri tidak fikir sekatan atau tindakan seumpama itu akan dimasukkan ke dalam agenda Majlis Keselamatan.
Diplomat Barat berkata, China dan Rusia dijangka menyokong resolusi PBB menuntut pembekuan pengayaan uranium di Iran tetapi belum bersedia untuk menyokong langkah ke arah sekatan.
Sementara itu di PBB, AS, Britain dan Perancis dilaporkan sudah merancangkan sekatan jika Iran terus tidak mempedulikan tuntutan supaya Teheran membekukan pengayaan uranium.
Bagaimanapun sekatan itu bukanlah sekatan ekonomi dan ketenteraan.
Jenis sekatan yang hendak dikemukakan oleh tiga negara Barat dalam Majlis Keselamatan itu ialah sekatan terhadap sasaran tertentu, termasuk menyekat perdagangan dalam peralatan yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan dan awam, mengharamkan perjalanan dan membekukan aset pegawai-pegawai Iran yang menjalankan dan menyelia program nuklear negara itu.
|