SAN JUAN 16 Mei - Pentagon semalam mendedahkan nama, umur dan negara asal setiap tahanan yang ditahan sebagai suspek pengganas di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo setelah bertahun-tahun maklumat itu dirahsiakan. Menurut Jabatan Pertahanan AS, pihaknya telah menahan 759 lelaki berusia dari peringkat remaja sehingga melebihi 70 tahun yang berasal dari lebih 40 negara.
Senarai itu disiarkan malam tadi sebagai respons terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh Associated Press di bawah Akta Kebebasan Maklumat.
Kira-kira 200 nama yang sebelum ini dirahsiakan termasuk dalam senarai tersebut.
Mereka merupakan bekas tahanan Guantanamo yang dipindahkan ke tempat lain sebelum tentera AS memulakan perbicaraan pada musim panas 2004 untuk menentukan sama ada tahanan terbabit telah diklasifikasikan dengan betul sebagai 'pejuang musuh' yang patut ditahan di pangkalan tersebut.
Senarai semalam meliputi 10 tahanan yang telah didakwa melakukan jenayah tetapi tidak termasuk tahanan utama seperti Khalid Shaikh Mohammed dan Ramzi Binalshih, dua suspek yang didakwa mendalangi serangan 11 September 2001.
Bagaimanapun, tempat Khalid dan Ramzi ditahan masih dirahsiakan.
|