WASHINGTON 12 Mei - Cadangan pentadbiran Bush bagi meneruskan pemprosesan semula bahan bakar nuklear sebagai sebahagian daripada program antarabangsa penggunaan tenaga nuklear menghadapi masalah di Kongres semalam. Jawatankuasa Kecil Pengambilan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) telah memotong permohonan kewangan sebanyak AS$100 juta (RM370 juta) walaupun selepas pihak pentadbiran mengadakan kempen bersungguh-sungguh bagi mempromosikan program tersebut.
Ia merupakan pemotongan sebanyak 40 peratus daripada jumlah yang dipohon oleh White House.
Presiden George W. Bush telah mempromosikan Perkongsian Tenaga Nuklear Global (GNEP) sebagai keutamaan jika lebih banyak reaktor nuklear baru dibina di AS untuk beberapa dekad akan datang.
''Ini merupakan langkah dalam proses pengambilan,'' kata jurucakap Jabatan Tenaga, Craig Stevens.
''Kami akan terus memberikan penjelasan mengenai kepentingan dan keperluan pembiayaan penuh dalam keutamaan Presiden,''jelasnya.
Para pengkritik GNEP berhujah, langkah kembali kepada pemprosesan semula bahan bakar nuklear akan menjadikan ia sasaran mudah kepada gerakan pengganas atau negara musuh mendapatkan plutonium yang tujuan senjata.
Para pegawai pentadbiran Bush pula menyifatkan GNEP merupakan langkah terbaik untuk mengawal buangan nuklear ketika negara maju semakin beralih kepada penggunaan bahan bakar ini untuk tenaga.
|