LONDON 3 Mei - Parti Buruh Britain pimpinan Perdana Menteri, Tony Blair berkempen pada hari terakhir hari ini menjelang pilihan raya tempatan esok yang diramalkan membawa kekalahan teruk kepada parti pemerintah itu. Blair cuba menaikkan sokongan terhadap Parti Buruh sewaktu tiga anggota Kabinet bergelut dengan masalah peribadi atau politik, tetapi beliau terus menerima berita yang tidak menyenangkan.
Setiausaha Dalam Negeri, Charles Clarke dijadual menghadap House of Commons (Dewan Rakyat) hari ini untuk memaklumkan ahli Parlimen tentang kemajuan operasi memburu penjenayah asing yang sepatutnya dipertimbangkan untuk dihantar pulang ke negara asal mereka tetapi dibebaskan di Britain setelah selesai menjalani hukuman penjara.
Perkembangan terbaru kes itu menjadikan kedudukan Clarke bertambah sukar dipertahankan.
Laman web akhbar Times semalam melaporkan, seorang lelaki Somalia yang dikehendaki kerana membunuh seorang anggota polis wanita dipertimbangkan untuk dihantar pulang tetapi Jabatan Dalam Negeri memutuskan adalah terlalu berbahaya untuk menghantarnya pulang ke tanah airnya yang dilanda peperangan.
Mustafa Jama, 25, disyaki membunuh Sharon Beshenivsky semasa mangsa menyiasat laporan mengenai rompakan di sebuah agensi pelancongan di Bradford, utara England pada November 2005.
Menurut akhbar Sun, skandal kegagalan kerajaan mengusir orang berbahaya dan tidak diingini seperti Mustafa semakin bertambah buruk dan Clarke patut berundur.
''Adalah sesuatu yang memalukan beliau masih memegang jawatan, dan kerajaan ternyata tidak menyedari betapa marahnya rakyat dengan kesilapan itu,'' menurut akhbar tabloid itu.
Kes penjenayah asing itu, skandal seks melibatkan Timbalan Perdana Menteri, John Prescott dan protes jururawat terhadap Setiausaha Kesihatan, Patricia Hewitt menyebabkan Blair benar-benar bimbang tentang nasib Parti Buruh di peti undi.
Beliau baru-baru ini mengadu bahawa laporan negatif selama sembilan hari tidak sepatutnya membayangi perkhidmatan beliau selama sembilan tahun
|