WASHINGTON 24 Mei - Iran telah mengemukakan permintaan menerusi orang tengah untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Washington berhubung program nuklearnya. Akhbar Washington Post melaporkan hasrat Iran itu hari ini dengan memetik kenyataan pegawai Amerika Syarikat (AS), penganalisis Iran dan diplomat asing.
Permintaan itu menyusuli surat Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad kepada Presiden George W. Bush.
Pegawai kanan Iran telah meminta 'banyak orang tengah' untuk menyampaikan mesej kepada Washington akan kesediaan Iran untuk berunding secara langsung, lapor akhbar itu dengan memetik kenyataan seorang bekas pegawai kerajaan Iran yang juga penganalisis terkemuka di Teheran, Saeed Laylaz serta beberapa diplomat asing.
Perantara untuk menyampaikan mesej berkenaan termasuklah Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei yang berada di Washington semalam untuk mengadakan rundingan dengan Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice dan Penasihat Keselamatan Negara AS, Stephen Hadley, lapor akhbar itu.
|