JAKARTA 4 Mei - Lebih daripada 5,000 penduduk yang menetap di sekitar kawasan Gunung Merapi meninggalkan rumah mereka hari ini apabila gunung berkenaan mula memuntahkan lahar. Seorang pegawai Pejabat Vulkanologi di Yogjakarta yang hanya dikenali sebagai Muzani berkata, ia memuntahkan lahar kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan.
Lahar mengalir keluar dari sebuah kawah baru yang bertapak di puncak Gunung Merapi dan ia mengalir sejauh 200 meter.
Meskipun lahar sudah dimuntahkan, Muzani menjelaskan, status terkini Gunung Merapi dilaporkan masih tidak berubah iaitu berada pada satu paras di bawah pemindahan mandatori.
Sementara itu, Ketua Pejabat Pengawalan Bencana Alam di Semarang, yang dikenali sebagai Marsono menjelaskan, persiapan sedang diatur bagi membolehkan ribuan penduduk mendapat penempatan sementara.
Sehingga kini seramai 3,566 penduduk sudah pun dipindahkan manakala seramai 37,000 penduduk lain dari tiga daerah di Jawa Tengah masih menunggu giliran mereka.
''Daripada 3,566 penduduk yang dipindahkan, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak manakala kaum lelaki enggan berganjak kerana sibuk mengerjakan kawasan sawah dan ternakan mereka,'' katanya.
Sepanjang minggu lalu, sebuah kawah lahar mula terbentuk di puncak Gunung Merapi dan ini menandakan bahawa letupan di Merapi kali ini hanya melibatkan pengaliran lahar dan kepulan asap panas dan bukannya letupan kuat.
Kali terakhir Merapi mengalami letupan kuat ialah pada 1994 apabila ia mengorbankan kira-kira 66 orang
|