BRUSSELS 14 Mei - Kesatuan Eropah (EU) merangka cadangan baru untuk ditawarkan kepada Iran bagi mendorongnya menghentikan program pengayaan uranium. Namun Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad awal-awal lagi menegaskan, sebarang tawaran baru yang diusulkan oleh kuasa-kuasa Eropah bagi menyekat program nuklear Iran akan ditolak.
''Sebarang tawaran yang menghendaki kami menghentikan program nuklear awam kami adalah tidak sah,'' kata Mahmoud di Teheran sekembalinya dari lawatan lima hari ke Indonesia.
''Saya terkejut sekumpulan orang mengadakan mesyuarat tanpa kehadiran kita dan membuat keputusan untuk kita,'' katanya
Tiga kuasa EU iaitu Britain, Perancis dan Jerman sekali lagi menimbangkan pakej tawaran yang dipercayai termasuk perdagangan bebas dan insentif politik.
Pakej itu bakal dibincangkan oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jerman pada minggu depan. Wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC), Jonathan Charles melaporkan, Iran akan digalakkan supaya mengimport sumber tenaga yang diperlukannya bagi menjalankan stesen kuasa nuklear awamnya dan bukan menghasilkannya sendiri menerusi kegiatan pengayaan uranium.
Sebagai balasan, EU akan menawarkan perdagangan lebih bebas di samping insentif politik dan bantuan teknologi.
Pakej itu merupakan tambahan kepada tawaran yang dibuat pada Ogos lalu dan ditolak oleh Iran.
Menurut wartawan BBC, kuasa Barat sudah begitu terdesak sehingga sanggup membuat tawaran sedemikian
|