BANGKOK 16 Mei - Kemelut politik Thailand bertambah kusut hari ini apabila tiga mahkamah tertingginya menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) untuk mengadakan pilihan raya umum baru pada 22 Oktober ini dan menuntut kesemua anggota EC meletakkan jawatan. Mahkamah Agung, Perlembagaan dan Pentadbiran menyatakan pesuruhjaya pilihan raya yang sedia ada tidak berhak mencadangkan tarikh pilihan raya baru dan tidak boleh menganjurkannya.
''Jika anggota EC tidak meletakkan jawatan, mahkamah tidak dapat menjamin pilihan raya yang bebas dan adil,'' kata Hakim Mahkamah Agung, Charan Pakdithanakul yang bercakap bagi pihak ketiga-tiga mahkamah selepas mesyuarat selama sejam.
''EC mesti meletakkan jawatan, jika tidak mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kerosakan yang dialami oleh negara ini pada masa depan. Tidak ada sebab EC ini perlu terus menganjurkan pilihan raya,'' katanya kepada wartawan.
EC bermesyuarat semalam untuk mula mengatur pilihan raya baru dan mereka mencadangkan tarikh pengundian pada 22 Oktober ini.
Kerajaan mempunyai kata putus mengenai tarikh pilihan raya dan sepatutnya membincangkannya tetapi menurut akhbar The Nation, perkara tersebut tidak ada dalam agenda mesyuarat Kabinet hari ini.
''Mahkamah menganggap mesyuarat yang diadakan oleh EC untuk menetapkan tarikh pilihan raya sebagai tidak sah,'' kata Charan.
|