1,500 disalah label penjenayah L0NDON 21 Mei - Selepas diselubungi krisis demi krisis sejak sebulan lalu, pentadbiran Perdana Menteri Britain, Tony Blair kini berhadapan dengan kontroversi terbaru. Hampir 1,500 individu yang tidak bersalah dilabel sebagai penjenayah oleh Jabatan Dalam Negeri, menyebabkan mereka hilang pekerjaan atau dilarang mengikuti sesuatu kursus atau pengajian.
Akhbar The Mail mendedahkan bahawa individu-individu itu, yang terdiri daripada bentara mahkamah dan juga pelajar-pelajar remaja, telah disalah tuduh sebagai pelakon filem lucah, pencuri dan juga perompak bersenjata oleh Biro Rekod Jenayah (CRB).
Kesilapan itu telah menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan atau dilarang mengikuti sesuatu kursus atau pengajian universiti, malah diancam akan dipecat daripada pekerjaan yang sedia ada.
Akhbar itu melaporkan, walaupun telah membuktikan mereka tidak bersalah, tetapi Jabatan Dalam Negeri enggan memohon maaf, sebaliknya mempersalahkan mangsa-mangsa itu kerana mempunyai nama dan tarikh lahir yang sama dengan penjenayah sebenar.
Pendedahan itu memperhebatkan tekanan ke atas Setiausaha Dalam Negeri, John Reid yang telah pun tertekan selepas seorang pegawai kanannya, Charles Clarke mengaku beliau tidak tahu-menahu jumlah sebenar pendatang haram yang berada di Britain pada masa sekarang.
Skandal seks khidmat imigresen LONDON 21 Mei - Seorang pegawai imigresen British telah digantung daripada tugas semalam selepas akhbar mendakwa beliau menawarkan bantuan kepada seorang wanita Zimbabwe berusia 18 tahun dalam permohonan suaka sebagai pertukaran untuk hubungan seks. ''Seorang pegawai Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri (IND) telah digantung tugas sementara siasatan penuh dijalankan,'' kata seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri.
Akhbar The Observer melaporkan, pegawai berusia 53 tahun dari pejabat IND Croydon telah menawarkan diri untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja perempuan itu sebelum temu ramah permohonannya supaya dia boleh memberikan jawapan yang tepat.
Akhbar itu berkata, lelaki itu menghantar mesej ke telefon bimbit wanita berkenaan dan apabila mangsa meminta kepastian, pegawai berkenaan meminta wanita itu menemuinya di sebuah hotel dan berkata: ''Saya akan beritahu anda ketika kita bersendirian kerana anda akan melakukan seks.''
Rakaman video mengenainya juga diedarkan. Laporan berita itu adalah siri terkini daripada beberapa kejadian yang memalukan IND yang pada bulan lalu mengaku ia membenarkan lebih 1,000 banduan asing bebas keluar daripada penjara British ketika mereka sedang dipertimbangkan untuk dihantar pulang.
|