Sebaliknya mereka membunuh dua pengikut kanannya yang bersembunyi di dalam rumah tersebut dan menangkap dua suspek lain.
Namun lelaki licik yang dianggap sebagai orang penting dalam usaha Indonesia untuk membubarkan rangkaian keganasan Jemaah Islamiah (JI) terlepas lagi.
Walaupun Noordin selama ini dianggap anggota kanan dalam JI, dia juga dipercayai telah berpecah dan menubuhkan kumpulan yang lebih radikal bersama-sama rakannya, Dr. Azhari Husin.
Azhari terbunuh dalam pertempuran dengan polis yang menggempur rumah persembunyiannya di pekan Batu, Jawa Timur pada November lepas.
''Berikutan kematian Azhari, Noordin kini boleh dianggap sebagai pemimpin tertinggi JI dan kumpulan serpihannya'' kata rektor Universiti Islam Jakarta, Azyumardi Azra.
''Dia masih dianggap sebagai tunjang rangkaian pengganas bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Asia Tenggara. Kegagalan polis menangkapnya kelmarin berkemungkinan disebabkan kelemahan rangkaian perisikan mereka sendiri,'' tambah Azyumardi.
Meskipun pasukan perisikan polis Indonesia sudah meningkatkan keupayaan, mereka masih belum mencapai tahap yang sepatutnya, ujar beliau.
''Mungkin kerana mereka kekurangan tenaga manusia atau disebabkan saiz Indonesia yang membolehkan anggota militan bersembunyi di tempat-tempat terpencil,'' jelas sarjana Islam itu.
Penganalisis politik daripada Institut Sains Indonesia, Indria Samego bersetuju bahawa Noordin masih memainkan peranan utama dalam serangan pengganas di Indonesia yang telah menyebabkan lebih 240 orang terbunuh dalam tempoh empat tahun lepas.
Mereka terbunuh dalam serangan bermula dengan letupan bom di Bali pada 2002, letupan bom di Hotel J.W. Marriott di Jakarta pada 2003, serangan bom kereta di luar Kedutaan Australia di Jakarta pada 2004 dan tiga serangan berani mati di Bali pada Oktober 2005.
Noordin dituduh terlibat dengan semua serangan tersebut.
Walaupun sumber mereka terhad, polis Indonesia perlu berusaha untuk menghapuskan semua ketua militan dalam senarai orang buruan mereka.