JAKARTA 11 Mei - Buat kali keenam dalam tempoh tujuh bulan, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sambil melabelkan Israel sebagai satu bentuk ''kanser'' berkata, rejim itu akan dihapuskan satu hari nanti. ''Rejim ini pasti hilang satu hari nanti,'' kata pemimpin yang tidak bertolak ansur ini dengan ancaman bertubi-tubi negara-negara Barat berhubung soal nuklear dengan berkata, liberalisme tidak akan mengakui pilihan raya yang diadakan di wilayah Pakistan walaupun mendapat sokongan rakyatnya.
''Kami percaya kerajaan seperti ini tidak akan kekal lama,'' kata beliau dalam ucapannya kepada penuntut-penuntut universiti di sini, hari ini.
Mahmoud buat pertama kali mengeluarkkan kenyataan pedas itu pada 26 Oktober lalu dengan berkata, negara Yahudi itu sepatutnya 'dihilangkan' dari peta dunia.
Pada April lalu, Mahmoud berkata, Israel tidak boleh hidup sendiri dengan mengatakan pendatang yang pergi ke negara itu patut balik ke negara masing-masing.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni berpendapat, ancaman Mahmoud itu tidak boleh dipandang ringan.
Israel melihat Tehran sebagai musuh utamanya sejak kejatuhan Saddam Hussein pada 2003, dan negara itu juga telah dikejutkan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Iran bahawa penyingkiran Nazi adalah mitos.
Negara-negara Barat menuduh Iran cuba membangunkan program senjata nuklear, namun ia menegaskan, program nuklear itu dilakukan bagi tujuan keamanan.
Ketika ditemu ramah oleh televisyen Indonesia pagi ini, Mahmoud menyifatkan ancaman perang ke atas negaranya oleh Barat sebagai satu 'jenaka' sambil menegaskan, rakyat Iran tidak gentar dengan ancaman sekatan ke atas negara itu.
Tegas beliau, tindakan ketenteraan ke atas Iran sebenarnya akan memberi kesan yang buruk terhadap negara yang menyerang mereka berbanding apa yang akan ditanggung oleh Teheran sendiri.
''Adakah hak dan kedaulatan sesebuah negara itu boleh dicabul semudah itu sedangkan kami hanya mahu melaksanakan hak kami?'' tegasnya.
|