BANGKOK 5 Mei - Iran merancang untuk membeli beras dalam jumlah yang besar dari Thailand dan Vietnam bagi menghadapi kemungkinan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ekonomi terhadap Teheran kerana meneruskan program nuklearnya. Dipetik agensi berita Rusia, Itar-Tass semalam, Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Chookiat Ophaswongse berkata, seorang wakil delegasi pertubuhan perdagangan kerajaan Iran tiba di sini untuk berunding dengan Thailand mengenai pembelian 300,000 tan beras.
''Iran nampaknya tergesa-gesa hendak memeterai perjanjian ini bagi mengelakkan risiko berlakunya kekurangan bekalan makanan di negara itu jika sekatan PBB dikenakan,'' kata Chookiat.
Iran yang merupakan pengimport terbesar besar Thai sudah pun menandatangani kontrak untuk mengimport 400,000 tan beras dari negara ini pada tahun ini.
Dalam pada itu, Chookiat tidak menolak kemungkinan rundingan sekarang ini berakhir tanpa sebarang kontrak kerana harga semua barangan dan bahan makanan Thailand termasuk beras melonjak sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan nilai mata wang Baht.
Selepas rundingan di Bangkok itu, delegasi Iran akan berlepas ke Vietnam untuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pengeksport bahan pertanian, menurut Itar-Tass.
Kelmarin tiga negara Barat yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan mengedarkan resolusi antara lain mengenakan sekatan ke atas Iran jika tuntutan menghentikan program nuklear tidak dipatuhi.
Draf resolusi itu mewajibkan Iran membekukan segala jenis aktiviti nuklear berhubung pengayaan uranium dan menghentikan kerja pembinaan sebuah reaktor air berat
|