PERTUBUHAN BANGSA- BANGSA BERSATU (PBB) 9 Mei - China bimbang satu draf resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat program nuklear Teheran boleh mencetuskan peperangan dengan Iran. Beijing menggesa Britain dan Perancis menggugurkan sebarang kenyataan yang menyebut tentang kemungkinan sekatan atau tindakan ketenteraan dikenakan terhadap Teheran pada masa depan.
Duta China, Wang Guangya semalam berkeras dengan pendiriannya menentang draf tersebut diletakkan di bawah Bab 7 Piagam PBB. Bab 7 memperuntukkan tindakan bagi menghadapi ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, termasuk pemutusan hubungan diplomatik, sekatan senjata, sekatan ekonomi dan penggunaan kekerasan.
Britain dan Perancis yang menaja draf tersebut dengan sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) berkeras mahu resolusi itu diletakkan di bawah Bab 7 bagi mewajibkan Iran mematuhi tuntutan Majlis agar Teheran membekukan program pengayaan uraniumnya.
Bagaimanapun Guangya tidak menyetujui pandangan itu kerana katanya, China berpendirian bahawa semua resolusi Majlis Keselamatan wajib dipatuhi di sisi undang-undang dan Bab 7 tidak perlu disebut kerana Bab 7 adalah mengenai langkah penguatkuasaan.
''Saya berpendapat sudah sampai masanya resolusi Majlis Keselamatan diperlukan kerana Iran tidak memberi kerjasama, tidak patuh, tidak memberi respons positif.
''Tetapi resolusi mestilah yang sesuai,'' katanya.
Ditanya sama ada resolusi di bawah Bab 7 boleh membawa Majlis Keselamatan lebih hampir kepada pendekatan yang telah mencetuskan perang di Iraq, beliau menjawab: ''Ya, inilah yang membimbangkan.''
Guangya bercakap dengan pemberita sebelum mesyuarat duta-duta lima anggota tetap Majlis Keselamatan– AS, Rusia, China, Britain dan Perancis.
|