LONDON 22 Mei - Para pegawai kanan dari Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis, Britain dan Jerman akan bertemu di sini, Rabu ini untuk membincangkan langkah seterusnya terhadap program nuklear Iran. Mesyuarat para pengarah politik telah ditangguhkan minggu lalu untuk memberikan tambahan masa kepada trio Kesatuan Eropah (EU) menyediakan pakej insentif bertujuan menarik minat Teheran membekukan program pengayaan uranium yang didakwa oleh Barat akan digunakan untuk membuat bom atom.
Teheran berkata, ia memerlukan teknologi nuklear untuk kegunaan stesen jana kuasa.
''Mesyuarat itu adalah Rabu ini,'' kata jurucakap Kementerian Luar yang enggan memberikan butiran lanjut.
Di sebalik perbezaan, para pegawai dari anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Jerman akan cuba bersetuju mengenai tindakan selanjutnya terhadap Iran.
EU sedang menyediakan pelan insentif termasuk tawaran reaktor air ringan tetapi Iran minggu lalu mengetepikan andaian ia akan menghentikan kerjakerja sensitif nuklearnya sebagai balasan kepada insentif berkenaan.
|