JAKARTA 31 Mei - Syarikat minyak dan gas Indonesia, PT Pertamina akan menaikkan harga bahan bakar sebanyak 12.9 peratus mulai esok bagi mencerminkan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kenaikan itu diumumkan oleh ketua bahagian bahaan bakar Pertamina, Djaelani Sutomo hari ini. Harga bahan bakar perindustrian tanpa subsidi seperti petrol dan minyak tanah akan dinaikkan antara 2.3 hingga 12.9 peratus mulai esok, kata Djaelani.
Pada 1 Mei lalu, harga meningkat antara 2.9 hingga 7.5 peratus.
Berikutan kenaikan terbaru itu, harga petrol gred premium tanpa subsidi ialah RM2.16 (5,469.08 rupiah) seliter.
Harga untuk minyak tanah, minyak diesel kelajuan tinggi dan minyak diesel marin masing-masing RM2.24 (5,664.54 rupiah), RM2.18 (5,512.45 rupiah) dan RM2.10 (5,326.93 rupiah) seliter.
Pertamina melaraskan harga bahan bakar tanpa subsidi setiap bulan berasaskan perubahan harga Mid Oil Platts Singapore (MOPS).
Pengguna industri membayar harga penuh pasaran bagi bahan bakar sejak Julai lepas apabila kerajaan bertindak untuk mengurangkan subsidi.
|