| DEMI MASA |
| |
| Hamas - Fatah tunjuk kuasa - Ketegangan di Gaza dikhuatiri cetus perang saudara |
| Jumaat, Mei 19, 2006 |
BANDAR GAZA 18 Mei - Kumpulan Hamas dan Fatah masing-masing menunjukkan kekuatan secara besar-besaran hari ini ketika ahli-ahli politik memberi amaran tindakan kumpulan militan Islam itu menempatkan pasukan keselamatannya sendiri di Gaza boleh mencetuskan perang saudara.
Perkembangan itu turut merumitkan suasana tegang membabitkan kerajaan pimpinan Hamas yang berhadapan dengan krisis kewangan, termasuk untuk membayar gaji kakitangan awamnya.
Kerajaan Palestin diketuai Hamas semalam menempatkan pasukan keselamatannya seramai 3,000 orang untuk mengawasi keamanan di Gaza walaupun penubuhannya ditentang oleh Presiden Mahmoud Abbas.
Pejabat Presiden telah mengeluarkan kenyataan yang melahirkan kemarahan terhadap penempatan pasukan keselamatan Hamas itu dan menggesa supaya pasukan itu segera berundur.
Penempatan pasukan militan itu telah mendorong beribu-ribu anggota perkhidmatan keselamatan rasmi Palestin melancarkan perarakan untuk menunjukkan kekuatan mereka dan memberi sokongan kepada Mahmoud.
Ketika berarak berhampiran kedudukan pasukan Hamas itu, anggota-anggota polis itu menjerit, ''Abu Mazen (Mahmoud) adalah pemimpin kami'' dan ''Pasukan lain tidak sah.'' Anggota polis itu bagaimanapun tidak bertindak terhadap pasukan keselamatan Hamas, dengan penyokong Hamas memerhati dari jauh tanpa mencetuskan sebarang insiden buruk.
Jeneral Sulaiman Hilles, pemerintah pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat dan Gaza, berkata dalam satu kenyataan, pasukan itu ditempatkan sebagai mesej ''hanya polis Palestin yang berkuasa untuk menjaga keamanan dan peraturan di Gaza.''
Sementara itu, beberapa ratus penyokong Hamas berkumpul di luar bangunan Parlimen yang berhampiran.
Yussef al-Zahar, adik lelaki Menteri Luar Mahmud al-Zahar dan salah seorang pemerintah dalam pasukan baru itu, mempertahankan penempatan pasukan keselamatan Hamas di Gaza.
''Kami dilantik di bawah sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Kami akan memainkan peranan dalam melindungi hak rakyat. Kami tidak menerima arahan Presiden Abbas melalui media,'' katanya.
Perunding Palestin, Saeb Erekat menggambarkan perkembagaan terbaru itu sebagai amat membimbangkan.
''Presiden telah mengarahkan pasukan keselamatan Hamas itu supaya berundur dan saya berharap mereka akan mematuhi arahan itu bagi mengelakkan krisis yang lebih serius,'' katanya.
|
posted by jasindaily online @ 5:51 PTG  |
|
|
|
|
| DPPKJASIN |
|

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
| CORETAN YANG LALU |
|
| ARKIB |
|
|
| POWERED BY |
 |
|