BAITULMAQDIS 2 Mei - Utusan khas antarabangsa, James Wolfensohn dalam laporan terakhirnya kepada perantara damai Asia Barat mempertikaikan keputusan kuasa-kuasa Barat menghentikan semua bantuan kewangan melainkan dana kemanusiaan kepada kerajaan Palestin pimpinan Hamas. Selepas membelanjakan lebih AS$1 bilion (RM3.6 bilion) setahun untuk membantu Palestin, sebahagian besarnya bagi mendirikan institusi kerajaan dan membangunkan ekonomi bagi mewujudkan sebuah ''negara Palestin berdaya maju'', laporan itu mengajukan pertanyaan: ''Adakah kita sekarang akan membatalkan semua matlamat itu?''
Laporan yang diterima oleh Reuters hari ini turut memberi amaran, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan tidak akan dapat mengisi kekosongan jika institusi-institusi Pihak Berkuasa Palestin (PA) runtuh akibat tekanan Barat.
Empat perantara damai Asia Barat yang dikenali sebagai kuartet terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan PBB.
''Saya akan terkejut jika kita boleh menang dengan menyebabkan rakyat Palestin kebuluran atau anak-anak mereka tidak bersekolah.
''Saya tidak fikir ada anggota kuartet yang menganggapnya sebagai satu polisi,'' kata Wolfensohn pada sidang media bersama-sama Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice semalam.
''Saya fikir tindakan ini (memutuskan bantuan kewangan) hanya merugikan,'' tegas bekas Presiden Bank Dunia itu.
Wolfensohn secara rasminya berundur sebagai utusan khas kuartet pada 30 April lalu kerana sekatan dikenakan terhadap peranannya selepas Hamas mengambil alih PA, kata pegawai kanannya.
|