JAKARTA 4 Mei - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak semua negara boleh mengguna pakai sistem yang dicadangkan oleh Barat dan agensi antarabangsa dalam menangani krisis kewangan. Beliau berkata, apa yang penting apabila berlaku krisis kewangan, setiap negara perlu meneliti setiap cadangan yang dikemukakan oleh pihak asing mengenai cara-cara untuk menangani krisis itu.
Menurut beliau, ia perlu diteliti dalam usaha untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil selepas itu tidak akan menyebabkan krisis kewangan berulang.
Katanya, semasa krisis kewangan umpamanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberi penawar tetapi penawar yang diberikan itu boleh 'mematikan' negara yang menerimanya.
''Sebab itu Malaysia mencipta penawar sendiri untuk mengatasi masalah kejatuhan nilai mata wang,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Serumpun-Nasionalisme Di Era Globalisasi di sini hari ini.
Ia dihadiri kira-kira 1,000 pengusaha anjuran Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat Aburizal Bakrie dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Zain.
Ditanya kenapa Malaysia yang mempunyai 25 juta penduduk boleh maju daripada Indonesia yang memiliki 240 juta penduduk, Dr. Mahathir berkata, bilangan penduduk yang besar atau kecil tidak boleh dijadikan ukuran.
Jika China mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion dan mampu menjadi sebuah negara maju, tidak ada sebab Malaysia dan Indonesia yang memiliki penduduk lebih kecil tidak boleh menjadi maju, katanya.
Beliau percaya penduduk Indonesia yang ramai mempunyai kecekapan dan kepintaran tertentu tetapi yang diperlukan ialah menggemblengkan tenaga, memberi didikan dan semangat untuk berusaha supaya menghasilkan kejayaan.
Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Dr. Mahathir menyatakan, Indonesia perlu membuat persediaan bagi menghadapi kenaikan harga minyak mentah dunia yang mungkin mencecah AS$100 setong.
|