WASHINGTON 17 Mei - Rakaman video menunjukkan sebuah pesawat yang dirampas merempuh bangunan Pentagon pada 11 September, 2001 disiarkan buat kali pertama oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam. Imej-imej yang diambil menerusi dua kamera keselamatan itu disiarkan oleh kerajaan sejajar dengan tindakan undang-undang yang difailkan oleh pertubuhan aktivis undang-undang, Judicial Watch di bawah Akta Kebebasan Maklumat.
Imej berkenaan merupakan versi yang lebih panjang dan lengkap daripada foto yang dibocorkan kepada media pada 2002.
Muncung pesawat Boeing 757 itu boleh dilihat dalam satu imej video, disusuli dengan satu letupan kuat dan letusan bola api sebaik sahaja pesawat merempuh Pentagon, diiikuti dengan kepulan asap tebal menjulang ke udara.
Pihak berkuasa AS sebelum ini menyatakan, lima anggota Al-Qaeda merampas Penerbangan 77 American Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles menuju ke Los Angeles dan menerbangkannya ke Pentagon.
Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu ialah 125 orang di dalam Pentagon, 59 penumpang dan anak kapal pesawat serta lima perampas.
Pesawat itu antara empat kapal terbang komersial yang dirampas pada hari berkenaan.
Kerajaan AS sebelum ini enggan menyiarkan rakaman video itu kerana masih menjalankan siasatan melibatkan Zacarias yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada bulan ini kerana bersubahat dalam serangan 11 September.
Pelbagai spekulasi telah disebarkan bahawa bukan jet komersial yang merempuh Pentagon tetapi sebuah peluru berpandu atau objek lain.
|